Archive for the ‘Drama’ Category

RM20 Juta

Hari ini dah 3 hari kami mengadakan pengambaran tele-movie bertajuk RM20 Juta untuk RTM2. Pada hari pertama kami mengadakan pengambaran di Taman Tasik Aman atau lebih dikenali sebagai tasik buaya Puchong.

dsc00725dsc00730

Semalam hari kedua di pejabat G.S. Gill di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan aku buat pertama kali berpeluang berjabat tangan dengan Datuk G.S. Gill yang sudah berusia 87 tahun.

Hari ini pula pengambaran dilakukan di sebuah restoran Iran berhadapan Lot 10 di Jalan Bukit Bintang atau lebih dikenali sebagai Bintang Walk.

dsc00750dsc00754

RM20 Juta menceritakan tentang Farid, seorang pemuda 29 tahun yang tinggal dengan atuknya sejak kecil kerana ibubapanya telah bercerai. Atuk dan neneknya juga sudah bercerai sebelum Farid dilahirkan. Akibat peristiwa itu  membuatkan Farid fobia untuk berkahwin.

Oleh kerana atuknya sudah uzur, Farid menguruskan syarikat atuknya yang berjumlah RM20 juta nilainya. Tetapi dia tidak pandai berjimat dan mempunyai ramai teman wanita.

Zakuan, pengurus syarikat itu risau kerana Farid tidak serius dalam tugasannya. Zakuan ceritakan hal Farid kepada Datuk Faruk.

Datuk Faruk panggil peguamnya, Kamarudin supaya buat satu wasiat di mana Farid dikehendaki berkahwin dengan seorang wanita yang solehan sebelum menyambut hari jadinya yang ke 30. Sekiranya gagal, kesemua harta bernilai RM20 juta itu akan pergi ke rumah anak yatim. Tetapi sebenarnya Kamarudin berhasrat membolot harta itu dan dia berharap Farid akan gagal menemui wanita solehan sebagai calon isterinya.

Berjayakah Kamarudin dengan hasratnya membolot harta itu atau berjaya Farid menemui wanita solehan sebagai isterinya? Sama-samalah kita saksikan di RTM2 nanti.

dsc00731dsc00734dsc00732dsc00740

Tele-movie ini diarahkan oleh V. Nagaraj dan dibintangi oleh Zul Yahya, Jalil Hamid, Mustapha Kamal dan lain-lain.


Share on Facebook

Share/Save/Bookmark

Pitching Di RTM

Pihak RTM dalam memberi peluang secara adil kepada produser membekal program TV sejak seminggu lalu telah memperkenalkan konsep secara pitching.

Dalam konsep ini pihak RTM telah menetapkan program-program seperti drama yang akan diterbitkan oleh mana-mana produser dengan menentukan siaran untuk hari-hari tertentu, seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Buruh, drama untuk siaran Hari Raya dan seterusnya.

Maka sejak seminggu lalu, produser, pengarah drama dan penulis skrip telah berkampung di RTM untuk membuat pembentangan pitching program.

Konsep pitching ini, penulis skrip akan diberi masa selama 10 minit untuk membuat pembentangan tentang jalan cerita sesuatu program yang dicadangkan. Di sini, ahli-ahli panel RTM akan mendengar setiap pembentangan dengan teliti dalam membuat penilaian.

Namun ada juga rungutan mengatakan penulis yang petah bercakap akan berpeluang dalam pitching itu.

Penulis skrip akan menggunakan minda dalam mendapatkan ilham untuk menghasilkan setiap karyanya.  Mereka bukannya seorang pidato atau jurujual yang petah bercakap dalam melariskan jualan mereka.  Sehinggakan seorang produser wanita yang juga seorang pelakon dan pengarah meluahkan, “sapa yang pandai ‘goreng’ akan dapat peluang”.

Saya sendiri berkesempatan sebanyak 4 kali membuat pembentangan dalam pitching itu. Saya tak mahu komen apa-apa. Kalau ada rezeki, dapatlah ia. Hanya komen saya, ahli-ahli panel RTM itu biarlah ada mesra sikit. Janganlah bermasam muka semasa kami membuat pembentangan. Ini membuatkan yang kami ini seolah-olah seperti ‘peminta sedekah’.

Tetapi yang seronoknya semasa pitching ini kami berpeluang berjumpa dengan semua kawan-kawan yang terlibat dalam produksi. Sempatlah kami bertegur sapa dan bertanya khabar.

Share on Facebook

Share/Save/Bookmark

Fajar Kinaboi Ditayang RTM2

Akhirnya pukul 3.00 petang Jumaat semalam tele-movie ‘Fajar Kinaboi’ ditayangkan di RTM2. Saya memang menunggu tayangan tele-movie itu untuk mengetahui sejauh mana atau sebanyak mana pindaan yang telah dilakukan terhadap skrip asal saya.

Seperti yang telah diduga, nama penulis skrip telah ditukarkan kepada nama ‘Melati Puteh’. Saya dan kawan-kawan tertanya-tanya juga siapa dia penulis skrip bernama ‘Melati Puteh’ ini. Adakah dia seorang perempuan atau jantan?

Kalau benar ‘Melati Puteh’ ini seorang penulis skrip atau seorang karyawan, beliau tentunya tidak sanggup namanya digunakan ke atas sebuah karya orang lain. Saya sendiri akan merasa malu dan tidak tergamak untuk berbuat demikian.

Dalam mengikuti tele-movie itu, intro saya ialah menunjukkan watak yang dibawa oleh Faisal Hussein sedang memandu sebuah kenderaan 4WD hardcore meredah hutan rimba dalam keadaan yang mencabar dan berlatar belakangkan pemandangan hutan yang menarik dan telah ditukar kepada bomoh Orang Asli sedang mengubat pesakit.

Seterusnya tidak ada apa-apa perubahan yang telah dilakukan. Semuanya sama dengan cerita daripada skrip saya. Kalau pun yang telah tukarkan ialah membuang kegunaan kenderaan 4WD dan membuat watak-watak dalam tele-movie itu meredah hutan secara berjalan kaki.

Tujuan asal saya meletakkan kegunaan kenderaan 4WD ialah untuk memaparkan kepada penonton teknik-teknik memandu kenderaan 4WD di laluan-laluan yang sukar dalam hutan. Di samping penonton mengikuti jalan cerita, mereka juga berpeluang belajar teknik pemanduan 4WD dan di samping itu secara tidak langsung akan menaikkan rating tele-movie itu.

Pertukaran yang telah dilakukan itu adalah semata-mata untuk menjimatkan kos dan senang bagi pengarah melakukan pengambaran. Selain dari watak utama dan watak pembantu dengan 4WD, pegawai Perhilitan juga dengan 4WD dan telah ditukarkan 2 orang pegawai itu berjalan kaki dalam hutan dalam menjejak pemburu haram.

Seterusnya setiap plot dan sub-plot cerita itu tidak ada apa-apa perubahan. Semuanya sama. Kalau ada pun perubahan ianya sekadar direngkaskan supaya senang bagi mereka melakukan pengambaran.

Kalau begitulah keadaannya, sekiranya duit saya sebanyak RM2,000 itu telah dibayar kepada ‘Melati Puteh’ dan kalau benarlah ‘Melati Puteh’ telah menerima duit itu, saya merasakan ia adalah sesuatu yang amat jijik.

Terima kasih saya kepada kawan-kawan pengarah drama, pelakon drama dan juga kawan-kawan di Internet yang telah memberi sokongan kepada saya.

Seperti yang saya maklumkan, saya bukannya bertujuan meraih simpati. Tetapi apa yang saya perlukan ialah sokongan daripada semua pengarah-pengarah drama, pelakon drama, production team dan juga teknikal krew agar nasib mereka juga tidak akan dipermainkan oleh mana-mana produser yang hanya penting keuntungan semata-mata.

Kami dalam bidang ini telah banyak melalui pengalaman dengan produser kemut. Sehinggakan ada produser yang sanggup menyediakan sendiri makan dan minum artis dan krew dari rumahnya demi menjimatkan wang. Ada juga produser yang hanaya bagi bajet untuk sarapan sebanyak RM1.00 sahaja kepada artis dan krew, sedang harga segelas teh tarik pun lebih dari itu.

Kalau hendak diceritakan memang banyak cerita-cerita yang menyakitkan hati. Apa yang diharapkan biarlah produser-produser itu ada hati-perut sikit terhadap kami anak-anak seni.

Share on Facebook

Share/Save/Bookmark

Tele-Movie ‘Fajar Kinaboi’

Dunia produksi filem dan drama bukan setakat penuh dengan pancaroba, tetapi banyak tikam-menikam dan pancung memancung yang berlaku. Siapa yang kuat akan terus melonjak ke atas dan siapa yang lemah menjadi mangsa tindasan.

Saya tak tahu tentang dunia produksi di Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Chinawood, Matsalehwood atau lain-lain wood di dunia ini. Tetapi di Malaywood, semua itu adalah perkara lumrah.

Seingat saya ketika di era Studio Merdeka membawa ke era Sabah Filem di mana filem ‘Si-Badul’ yang pertama dikeluarkan hingga ke era RTM memulakan drama swasta sebelum munculnya TV3, perkara-perkara begini tidak berapa ketara sangat.

Tetapi sejak 10 tahun kebelakangan ini dengan munculnya ramai produser-produser baru, pelakon-pelakon baru, pengarah-pengarah baru dan juga production crew dan technical crew baru, saingan menjadi semakin rancak dan mula berlaku tindas-menindas.

Masalah ini berpunca kerana penglibatan orang-orang baru dalam dunia ini bukannya kerana seni, tetapi kerana glamour dan duit. Maka sesiapa yang berjuang kerana seni akan terus menjadi mangsa back-stabbing.

fajar-kinaboi

Maka itu jugalah yang terjadi kepada saya baru-baru ini. Kalau anda perhatikan salinan di atas, itulah proposal yang telah saya sediakan untuk RTM. Setelah dipersetujui oleh panel-panel RTM, penulis skrip akan mula menulis skrip setelah pihak produser membayar wang pendahuluan.

Pada awal tahun 90an dulu, setiap skrip tele-movie bernilai antara RM5,000 hingga ke RM7,000 satu skrip. Sempat jugalah saya merasa kemewahan dari hasil tulisan kita pada masa itu. Tetapi kini meskipun nilai mata wang kita sudah tidak seperti dulu lagi,  sebuah skrip tele-movie hanya berharga sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 sahaja.

Berbalik kita kepada skrip ‘Fajar Kinaboi’ ini, saya letak harga sebanyak RM3,500 sahaja kepada produser iaitu Suar Channel. Tetapi Che Din, Executive Producer syarikat produksi itu sanggup tawar menawar bayarannya. Akhirnya saya putuskan pada harga RM3,000 sahaja, tetapi beliau minta kurang lagi dan sanggup membayar RM2,800 sahaja.

voucher

Memandangkan janji beliau yang saya juga akan menjadi Penolong Pengarah untuk tele-movie ini, saya bersetuju dengan bayaran skrip sebanyak itu. Sebagai permulaan beliau menjelaskan bayaran sebanyak RM800.00 dahulu kepada saya.

Seperti yang dijanjikan yang saya akan menjadi Penolong Pengarah kepada produsernya sendiri, Azmi Musa yang akan mengarah tele-movie itu, saya terus recee lokasi di hutan yang bersesuaian dan menyediakan 2 buah kenderaan 4WD yang akan digunakan dalam tele-movie itu.

Shaharuddin Thamby saya cadangkan sebagai watak utama dan pelakon pembantunya ialah Ramli Salleh. Tetapi tanpa pengetahuan saya mereka terus memulakan pengambaran menggantikan dengan pelakon Faizal Hussein.

Bukan setakat itu saja, bahkan apabila saya telefon Che Din bertanyakan baki bayaran skrip saya, beliau sanggup membuat cerita mengatakan dia tak boleh bayar baki itu kepada saya kerana skrip itu telah diolah oleh penulis lain.

Kalau sudah begitu katanya, saya terpaksa terima sajalah. Walaupun saya ada hak ke atas baki bayaran skrip itu, namun apalah kudrat saya. Mungkin perkara ini tidak diketahui oleh pihak RTM, apatah lagi publik.

Tetapi kemusyikilannya di sini kenapa mesti orang lain olah skrip itu? Apa teruk sangatkah skrip saya? Kalau benar begitu, kenapa tidak ‘orang lain’ yang olah skrip itu sediakan konsep dan proposal skrip ini daripada awal untuk dipersembahkan kepada RTM?

Perlu diingat bahawa tajuk, konsep dan ceritanya adalah hasil karya saya. Tajuk ‘Fajar Kinaboi’ juga ada saya terangkan pada proposal awal kepada pihak RTM.

Saya rasa sedih apabila kerapkali dan banyak kali karyawan atau orang seni seperti kami ini kerap menjadi mangsa tokoh perniagaan. Saya katakan begitu kerana produser atau production house ini bukannya orang seni. Mereka adalah perniaga. Demi mendapat untung mereka sanggup lakukan apa saja tanpa mengira halal atau haram.

Tujuan saya di sini bukanlah hendak memburukkan sesiapa. Tetapi sesuatu yang buruk itu harus dibongkarkan supaya orang ramai tahu. Takkan kita tulis skrip bersengkang selama seminggu hanya lapan ratus ringgit sahaja imbuhannya.

Baki sebanyak RM2,000.00 itu bukan sedikit sebenarnya. Itu adalah sebulan gaji seorang Junior Executive. Duit sebanyak sebanyak itu boleh makan selama 2 bulan bagi sesetengah keluarga sederhana.

Dan tele-movie ‘Fajar Kinaboi’ ini akan keluar di RTM pada hari Jumaat 30hb Januari 2009 nanti. Itupun saya tak tahu sama ada nama saya dikekalkan selaku penulis skrip atau tidak dalam credit title nanti.

Saya hanya mampu berdoa semoga manusia yang berhati zalim itu akan menerima balasannya. Amin.

Share on Facebook

Share/Save/Bookmark